#1 SUP KESYUKURAN
Kita mesti belajar segala yang datang kepada kita adalah satu hadiah. Kita ada terlalu banyak untuk disyukurkan . Hidup kita sudah dipenuhi dengan pelbagai anugerah daripada Yang Maha Esa. Tapi masalahnya kita masih terus memerlukan lebih lagi.
Seolah-olah semuanya tak pernah mencukupi. Wang dalam poket kita, masa untuk berseronok, kawan-kawan baik dan banyak lagi.
Apa itu cukup?
Bila baru kita ada segala yang diperlukan dan dingini?
Soalan itu begitu mudah namun cukup mendalam. Jawapannya tersimpan dalam diri kita.
Hakikatnya kita sudah mencukupi. Kita dah ada segala yang diperlukan untuk buat kita gembira. Kita sendiri boleh buat diri kita gembira. Kita tak perlukan sesiapa untuk menggembirakan kita. Secara mudahnya, kita tak perlukan apa-apa.
Sebenarnya kita ada segala yang diperlukan dalam bentuk rohaniah. Dalam bentuk material, walaubagaimanapun masih terdapat banyak yang perlu dipenuhi. Kita perlukan kehidupan fizikal yang selesa untuk memenuhi matlamat hidup dan seterusnya hidup bahagia.
Memanglah hebat jika dapat hidup di dunia yang mudah dapat apa saja yang diingini seperti di syurga, di mana tiada sesiapa yang menderita atau terpaksa bersusah-payah.
Realitinya kehidupan ini berbeza. Kita terpaksa hadapi kesusahan, kesakitan, kesedihan dan pelbagai lagi cabaran.
Suka atau tidak, Tuhan telah pun menciptakan kita. Kita telah bersetuju untuk berada di sini dan menerima hadiah ini sebagai kehidupan kita. Jadi marilah kita mula untuk bersyukur atas apa yang kita terima. Sesungguhnya hidup ini adalah satu anugerah. Ucapkanlah Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment
Sila komen sebarang topik yang dikarang di atas. Terima Kasih.