RESEPI PEMBUKA MINDA

#1 SUP KESYUKURAN

Kita mesti belajar segala yang datang kepada kita adalah satu hadiah. Kita ada terlalu banyak untuk disyukurkan . Hidup kita sudah dipenuhi dengan pelbagai anugerah daripada Yang Maha Esa. Tapi masalahnya kita masih terus memerlukan lebih lagi.
Seolah-olah semuanya tak pernah mencukupi. Wang dalam poket kita, masa untuk berseronok, kawan-kawan baik dan banyak lagi.
Apa itu cukup?
Bila baru kita ada segala yang diperlukan dan dingini?
Soalan itu begitu mudah namun cukup mendalam. Jawapannya tersimpan dalam diri kita.
Hakikatnya kita sudah mencukupi. Kita dah ada segala yang diperlukan untuk buat kita gembira. Kita sendiri boleh buat diri kita gembira. Kita tak perlukan sesiapa untuk menggembirakan kita. Secara mudahnya, kita tak perlukan apa-apa.
Sebenarnya kita ada segala yang diperlukan dalam bentuk rohaniah. Dalam bentuk material, walaubagaimanapun masih terdapat banyak yang perlu dipenuhi. Kita perlukan kehidupan fizikal yang selesa untuk memenuhi matlamat hidup dan seterusnya hidup bahagia.
Memanglah hebat jika dapat hidup di dunia yang mudah dapat apa saja yang diingini seperti di syurga, di mana tiada sesiapa yang menderita atau terpaksa bersusah-payah.
Realitinya kehidupan ini berbeza. Kita terpaksa hadapi kesusahan, kesakitan, kesedihan dan pelbagai lagi cabaran.
Suka atau tidak, Tuhan telah pun menciptakan kita. Kita telah bersetuju untuk berada di sini dan menerima hadiah ini sebagai kehidupan kita. Jadi marilah kita mula untuk bersyukur atas apa yang kita terima. Sesungguhnya hidup ini adalah satu anugerah
. Ucapkanlah Alhamdulillah.

#2 SUP KEKAYAAN

#2 SUP KEKAYAAN

Menjadi kaya merupakan impian ramai orang. Untuk itu kita sanggup berusaha keras untuk mencapainya. Namun berapa ramai yang berjaya? Tiada sesiapa yang berjaya dengan cara biasa. Misalnya dengan menabung.
Ramai yang sanggup mengikat perut dan melakukan pelbagai cara untuk menjimatkan wang. Contohnya seorang lelaki sanggup berjalan dari tempat kerja pergi dan balik yang mengambil masa sejam. Sedangkan dia boleh menggunakan kereta dan perjalanannya boleh boleh disingkatkan ke 20 minit. Dia mungkin menjimatkan 10 sen sehari tetapi membazirkan satu jam setengah.
Ia bukan pelaburan yang bijak. Kecuali masa yang digunakan itu dianggap aktiviti senaman yang memberi pulangan dari segi kesihatan. Pendapat ramai orang jika kita ada duit yang banyak, kita boleh buat lebih banyak duit. Tapi itu tidak semestinya benar.
Kebanyakan orang yang menceburi bidang perniagaan mengalami kegagalan. Duit semata tidak boleh menjadikan seseorang itu kaya, kecualilah dia dilatih cara untuk mencari dan menggunakan peluang pelaburan dalam perniagaan.
Jika mewarisi harta sekalipun, ada kemungkinan kita akan kehilangannya. Ini kerana kita hanya tahu menerima tetapi bukan mengumpulnya. Begitu juga jika memperolehi kekayaan dengan cara yang tidak adil.Misalnya menipu, rasuah, melakukan jenayah dan sebagainya.
Seseorang yang mendapat sesuatu daripada orang lain tanpa berusaha akan menjadi tamak dan mementingkan diri. Dia akhirnya tidak akan gembira dengan pencapaian sendiri. Apa yang kita ambil daripada orang lain akan diambil semula daripada kita. Kita harus sedar yang kita perlu memberi pertukaran yang adil untuk apa yang diperolehi.
Kesimpulannya untuk memperolehi kekayaan kita mesti mendekatkan diri kita dengan perkara-perkara baik.